Sunday, January 10, 2010

ISLAM YANG SEBENAR?


Penjelasan Biasa


Dalam bahasa Arab, perkataan "Islam" bermaksud "tunduk" atau
"patuh". Jika seorang Muslim ditanya, "Apakah itu Islam?", biasanya dia akan
menjawab, "Agama yang tunduk kepada Allah, satu-satu Tuhan yang benar."


Jawapan ini terlalu ringkas. Untuk memahami Islam yang benar,
satu gambaran yang jelas yang diperlukan. Untuk mendapat gambaran yang jelas
ini, satu penelitian sejarah diperlukan.



Islam Dalam Sejarah


Sebelum Islam bertapak di tanah Arab di bawah pimpinan
Muhammad, terdapat empat jenis kepercayaan yang berpengaruh di sana.


  1. Arab Jahiliah

    Mereka ini penyembah-penyembah berhala yang percaya
    kepada satu Tuhan yang Maha Tinggi, dewa-dewi dan berbagai jenis kuasa
    ghaib. Walaupun begitu, sebilangan besar daripada mereka (terutamanya bani
    Quraisy di Mekah) mengaku diri mereka dari keturunan Ibrahim.

    Rumah berhala mereka yang terkenal ialah Kaabah yang
    bertempat di Mekah. Di dalamnya terdapat berbagai objek-objek pujaan dan
    berhala.

  2. Yahudi

    Pada zaman Muhammad, terdapat ramai orang Yahudi di tanah
    Arab. Sebilangan besar dari mereka bukan Yahudi sejati melainkan yang telah
    memeluk agama Yahudi. Menurut Yaqubi, bani Yahudi Quazah dan Nadhir di
    Madinah merupakan suku-bangsa Arab Jurham yang telah diyahudikan.

    Orang Yahudi pada masa itu lebih berpengetahuan tentang
    dongeng rakyat dan tulisan ulama mereka daripada apa yang sebenarnya di
    tulis dalam Taurat. Malah, ada yang telah lupa bahasa asal mereka dan tidak
    dapat lagi membaca kitab Taurat yang ditulis dalam bahasa Ibrani. Kerana
    ulama-ulama Yahudi sahaja yang memahami kitab Taurat, ayat-ayat dari kitab
    itu terpaksa diterjemahkan secara spontan ke dalam bahasa Arab dalam
    upacara-upacara sembahyang umum.


  3. Kristian

    Orang yang pertama menjadi Kristian ialah orang Yahudi.
    Mereka berbeza dengan orang Yahudi lain kerana menerima Isa sebagai Al-Masih
    yang telah dijanjikan Allah. Apabila semakin ramai orang bukan-Yahudi
    memeluk agama Kristian, mereka mula membentuk identiti mereka sendiri. Pada
    zaman Muhammad, orang Kristian telah wujud selama enam ratus tahun. Dalam
    masa yang singkat itu, agama Kristian berjaya menjadi agama utama di Timur
    Tengah.


    Akan tetapi orang Kristian pada masa itu telah pudar
    semangat dan banyak ajaran-ajaran sesat telah berjaya memecahbelahkan
    penduduk Kristian kepada kelompok-kelompok yang bertentangan fahaman. Ramai
    orang keliru tentang fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka yang
    tidak berpeluang membaca Alkitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil)
    untuk mengkaji isu-isu yang diperdebatkan.


    Suasana ini merebak ke tanah Arab yang pada masa itu
    tidak memiliki Alkitab dalam bahasa Arab. Orang Kristian di tanah Arab pada
    masa itu terdiri dari golongan Nestoria, Baizantin dan Monofisit. Golongan
    Baizantin dan Monofisit merupakan dua golongan paling berpengaruh dan
    merekalah yang menimbulkan perbalahan apabila memanggil Maryam, Ibu Tuhan.
    Maka tidak hairanlah jika suasana seperti itu telah menghalang Muhammad
    daripada mendapatkan ajaran Kristian yang benar.


    Akhirnya, penyebaran ajaran-ajaran sesat ini dapat
    disekat dan dibetulkan. Prosesnya mengambil masa yang lama kerana campur
    tangan berbagai pihak yang berkuasa. Apabila umat Kristian berjaya bangkit
    dari kemelut akidah yang telah memecahbelahkan mereka, Islam telah pun
    bertapak di Timur Tengah dan Afrika Utara.


  4. Hanif


Perkataan Hanif bermaksud "Dia yang berpaling" iaitu
daripada penyembahan berhala. Orang Hanif ialah orang Arab Jahiliah yang
telah dipengaruhi oleh fahaman Yahudi dan Kristian lalu mereka menolak
amalan penyembahan berhala. Mereka tidak berjemaah tetapi percaya agama yang
benar ialah agama yang dipegang bapa bangsa mereka, Ibrahim.


Agama Yahudi, Kristian dan Islam masing-masing menuntut
mewakili agama Ibrahim yang sebenar. Adalah menarik bahawa dari empat Hanif
yang diceritakan oleh Ibn Ishaq, tiga daripada mereka menemui kebenaran yang
dicari-cari mereka dalam agama Kristian.


Hanif yang pertama ialah Waraqah bin Naufal, sepupu
Khatijah, isteri pertama Muhammad. Dia memeluk agama Kristian dan menjadi
seorang Kristian yang terpelajar. Walaupun dia adalah saudara dan penasihat
rohani Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas kematiannya,
Muhammad telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian putih dan mengambilnya
sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.


Hanif kedua ialah Abdullah bin Jashy. Pada mulanya dia
memeluk agama Islam tetapi kemudiannya memeluk agama Kristian setelah
berhijrah ke Habsyah akibat penganiayaan di Mekah. Abdullah selalu bersaksi
kepada pelarian Islam yang lain tentang pengalaman rohaninya yang baru itu.
Dia pernah berkata, "Kami (Kristian) melihat dengan jelas tetapi kamu
(Islam) mengerdip mata sahaja." Maksudnya jelas – Abdullah percaya bahawa
orang kristian mempunyai pandangan yang jelas dalam hal-hal rohani manakala
Islam masih belum berjaya melihat terang kebenaran Allah.


Hanif yang ketiga ialah Usman bin Huarith. Dia merupakan
saudara isteri pertama Muhammad dan memeluk agama Kristian semasa di
Baizantin.


Hanif yang keempat, Zaid bin Amru, tetap Hanif sampai
akhir hayatnya. Dikatakan dia selalu berdoa, "Ya Allah. Jika aku tahu jalan
mana yang paling Engkau berkenan, aku akan menyembah-Mu dengannya. Tetapi
aku tidak tahu."


Sebelum kerasulannya, Muhammad merupakan seorang Hanif. Pada
setiap tahun, di bulan Ramadan, dia akan pergi bertapa di Gua Hira yang
berdekatan dengan Mekah. Amalan ini sebenarnya berasal daripada orang Kristian
di Syria yang kemudiannya menjadi popular di kalangan orang Arab.

Mengikut ajaran Islam, kenabian Muhammad bermula pada satu
malam pada bulan Ramadan apabila dia terdengar satu suara menyuruh dia
"mengucap" (yakni ayat-ayat Al-Quran yang bakal diturunkan kepadanya). Suara ini
didengarnya ketika dia sedang bertapa di Gua Hira. Apabila dia mempertimbangkan
kata-kata tersebut, malaikat Jibrail telah menjelma dan memberitahunya,
"Muhammad! Engkaulah rasul Allah."

Pada mulanya Muhammad menyebarkan mesej Islam di kalangan
orang Arab sahaja. Selepas dia berhijrah ke Madinah (yang banyak berpenduduk
Yahudi), dia cuba memujuk orang Yahudi menerimanya sebagai seorang nabi setaraf
nabi-nabi dalam kitab Taurat. Muhammad mengelar orang Yahudi dan Kristian
"ahli-ahli kitab". Walaupun begitu, orang Yahudi menentang Muhammad dan menolak
mesejnya. Mereka yakin kitab suci mereka tidak menyatakan apa-apa tentangnya.
Sejak dari itu, Muhammad mula bermusuhan dengan mereka.


Apabila ditanya sama ada orang Islam orang Yahudi atau
Kristian, Al-Quran mengarahkan orang Islam untuk memberi jawapan ini:



Berkata mereka itu: Beragama Yahudilah kamu, atau beragama
Nasrani, supaya kamu mendapat petunjuk. Katakanlah: Bahkan agama Ibrahim yang
lurus (kami ikut), dan bukanlah dia termasuk orang-orang musyrik. Katakanlah:
Kami telah beriman kepada Allah dan (Kitab) yang diturunkan kepada kami dan
apa-apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Yaqub dan anak-anaknya
(begitu juga kepada kitab) yang diturunkan kepada Musa dan Isa, dan apa-apa yang
telah diturunkan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka, tiadalah kami perbezakan
seorang juga di antara mereka itu dan kami patuh kepada Allah. Maka jika mereka
beriman seperti keimanan kamu, sesungguhnya mereka mendapat petunjuk; tetapi
jika mereka berpaling (tiada beriman seperti keimananmu), maka hanya mereka
dalam perpecahan (dengan kamu); maka engkau akan dipeliharakan Allah dari
kejahatan mereka, dan Dia Mahamendengar, lagi Mahamengetahui
. (2 Surah
Al-Baqarah ayat 135-137)

Apabila ayat-ayat ini yang dipandang dari sudut sejarah, maka
jelaslah agama Islam merupakan satu panggilan untuk kembali kepada agama
Ibrahim dan mesej nabi-nabi Allah. Apakah ini telah dilakukan penganut agama
Islam? Apakah Islam hari ini mewakili agama Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Yaqub
yang sebenar? Apakah kitab Musa dan Isa ditaati hari ini oleh pengikut Islam?




Agama Ibrahim


(Ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Islamlah
engkau! Jawabnya: Saya telah Islam(patuh mengikut) Tuhan semesta alam.
(2
Surah Al-Baqarah ayat 131)



Siapakah yang terlebih baik agamanya dari orang yang
menundukkan mukanya kepada Allah sedang ia berbuat kebaikan dan mengikut agama
Ibrahim yang lurus? Allah telah mengangkat Ibrahim itu sebagai tolan (sahabat).

(Surah An-Nissak ayat 125)


Agama Ibrahim ialah agama penundukan dan ketaatan kepada
perintah-perintah Allah. Ibrahim menikmati banyak berkat kerana kejayaannya
tunduk dan taat kepada Allah. Dia telah diberi anak yang soleh walaupun sudah
berusia, anaknya ditebus Allah ketika Ibrahim patuh kepada arahan Allah (melalui
mimpi) untuk menyembelih anaknya dan dia dijadikan imam bagi manusia. Akan
tetapi berkat paling besar dialami Ibrahim ialah penghormatan menjadi sahabat
Allah.


Bagaimana dengan anda hari ini? Apakah anda berjaya tunduk
dan taat kepada perintah-perintah Allah Ibrahim, Ishaq dan Yaqub? Apakah
berkat-berkat yang telah anda alami sebagai hasil kepatuhan ini? Apakah anda
seorang sahabat Allah?



Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Ibrahim?
Allah berkenan kepada Ibrahim kerana perbuatan Ibrahim, iaitu mempersembahkan
Ishaq, anaknya di atas mezbah, sebagai persembahan kepada Allah. Kamu tidak
nampakkah bahawa Ibrahim menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman
Ibrahim menjadi sempurna. Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, "Ibrahim
percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang
melakukan kehendak Allah." Itulah sebabnya Ibrahim disebut sahabat Allah.
(Yakub bab 2 ayat 21-23)





No comments: